lifeline4gaza

www.lifeline4gaza.org
Image

 Aug   Sep 2010   Oct

SMTWTFS
   1  2  3  4
  5  6  7  8  91011
12131415161718
19202122232425
2627282930 
VLSI High Level Synthesis
 Anda Pengunjung Ke
Mesothelioma Lawsuit

Login Form






Hilang Katalaluan?
Tiada akaun lagi? Daftar
Advertisement
Dari Meja Presiden

Image

 

Firman ALLAH s.w.t

Maksudnya “Itulah kurniaan yang dengan itu, Allah menggembirakan hamba-hambanya yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan, dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri” (As Syura : 23)

 

Alhamdulilah, kita bertemu sekali lagi dalam mesyuarat agung tahunan Yayasan Amal Malaysia (YAM) kali yang ke empat di Dewan Masjid Al Ghufran, Pertemuan di masjid ini menyegarkan kembali ingatan kita kepada nostalgia lalu di mana masjid, rumah Allah dalam peristiwa Tsunami di Acheh, dalam tempoh ½ jam ledakan gempa terkuat di abad ini melenyapkan dari pandangan hampir seluruh isi bandar Acheh. Sejauh mata memandang menjadi “ PadangJarak Padang Mayat”. Bangunan-bangunan yang sebelumnya berdiri megah hilang tidak bertapak. Sebahagian bertukar menjadi lautan, yang tinggal hanya masjid Allah, seolah-olah tidak kenal Tsunami. Di Olile, masjid tercegat di tengah laut, dikelilingi air, masjid tetap berdiri megah, itulah kebesaran Allah , Allahu Akbar. Kita bertemu di sini dalam rangka menjalankan agenda dwi tahunan YAM iaitulah bermesyuarat agung. Saya mengalu-alukan kehadiran tetamu-tetamu jemputan serta para perwakilan daripada negeri-negeri. Kurang 10 hari lagi YAM akan genaplah umurya 6 tahun, Dari sudut pertubuhan, kita baru berusia setahun jagung, usia yang begitu muda sudah tentu banyak kekurangan dan kelemahan. Justeru itu, Mesyuarat Agung hari ini hendaklah dijadikan medan muhasabah yang terbaik bagi kita menilai dan mengukur keupayaan kita selama ini serta memperbaiki segala kelemahan bagi tujuan meningkatkan pengurusan kerja dan kualiti amal kita.

 

Saudara dan saudari sekelian,

Usia muda bukan bermakna YAM tidak banyak pengalaman dalam mengharungi perjuangan yang berasaskan Amal kerana Allah, malahan penglibatan YAM dalam merealisasikan tuntutan Allah dalam al quran bagi berlumba-lumba mengerjakan kebajikan telah menjangkaui dan melangkaui usianya yang begitu muda. Firman Allah swt. di dalam al Quran yang berbunyi:

” Dan katakanlah wahai Muhammad, beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” (At Taubah :105)

 

Yayasan Amal telah disahkan penubuhannya pada 30 Mei 2001, YAM bergerak mencipta rentak dan irama mengikut Islam ke pelusuk negara dan dunia bagi menabur bakti kepada umat manusia yang ditimpa musibah. Berbekalkan semangat dan slogan “Berkhidmat Untuk Kemanusiaan dan Beramal Kerana Allah” serta dengan kegigihan semangat dan kerja sahabat relawan, Alhamdulillah YAM telah menampilkan imej baik kepada agama dan menyumbang nama baik kepada negara khususnya dan di peringkat international umumnya.

Kebaktian kita diterima oleh masyarakat setempat dan antarabangsa tanpa sebarang prejudis. Ini kerana YAM tidak terikat dengan keterbatasan ruang lingkup yang sempit, pergerakan kita tidak dibatasi oleh sempadan geografi dan juga keterikatan bangsa dan agama. Perlu difahami bahawa YAM juga bukan bergerak atas nama amal kebajikan semata-mata tetapi juga sebagai pendakwah, ini kerana melalui amal kebajikan, anggota Amal berhadapan terus dengan ahli masyarakat, kesempatan ini mesti diambil peluang untuk menggunakan skill kita berdakwah kepada mereka. Pendekatan berkhidmat sambil berdakwah adalah pendekatan yang terpuji yang wajar dicontohi. Sebagaimana syumul dan luasnya Islam, begitu jugalah pergerakan AMAL kita.

 

Firman Allah swt :
”Dan siapakah yang paling baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada jalan Allah dan melakukan amal kebajikan, dan berkata sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang Islam”

 

Saudara dan saudari yang dikasihi seklian,

Pada kesempatan ini selaku peneraju dan kepimpinan YAM, izinkan saya mengimbau kembali pencapaian terbaik AMAL dalam tempoh 6 tahun ke belakang samada dalam negara mahupun luar negara. Imbauan ini bukan bertujuan bermegah dan berbangga serta menafikan peranan pihak lain, tetapi bertujuan merangsang semangat kerja para relawan Amal agar terus berkhidmat dan beramal dulu, kini dan selamanya. Ia juga bertujuan untuk kita menilai serta bermuhasabah agar dapat diperbaiki dan dipertingkatkan gerak kerja kita pada masa akan datang.

 

AMAL Di Persada Tanah Air

Perkembangan Amal bermula dengan penubuhan cawangan-cawangan di seluruh negeri di Semenanjung dan diikuti Sabah pada tahun 2006, kini kita sedang menunggu kelulusan pendaftaran Yayasan Amal Sarawak. Di peringkat awal, YAM bergerak melalui pejabat induknya di Terengganu, tetapi tuntutan masa dan perkembangan-perkembangan terkini serta kerapnya berlaku musibah atau malapetaka alam di rantau ini dan seluruh negara memerlukan pusat operasi dan di ibupejabat YAM berpindah sepenuhnya di ibukota, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, tahun ini kita memindahkan pejabat operasi kita di Batu Caves, Kuala Lumpur, dan kesempatan ini, saya serta seluruh anggota YAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Ahmad Affendi bin Mohammad yang banyak memberi sumbangan kepada YAM termasuklah membayar sewa bulanan pejabat Amal di Kuala Lumpur dan menggaji seorang pegawai YAM sepenuh masa.

Dalam menjalankan aktiviti amal ke pelusuk negara dan dunia, kita menjadikan kebajiklan dan relief sebagai teras utama kegiatan YAM. Hari ini, kita boleh rasa berbangga dengan pencapaian kerja sebahagian besar dari cawangan-cawangan kita di seluruh negara walaupun masih jauh dari apa yang sebenarnya kita harapkan. Pendek kata, hampir semua cawangan sudah mengorak langkah mendampingi masyarakat melalui program amalnya. Ia bermula dengan kerja-kerja kebajikan seperti “Program Kempen Derma Darah,Program Gotong Royong, Program Sekampit Beras Sekilog Gula” dan sebagainya.

 

Kemampuan kita terbukti dalam bidang relief dan rescue, di mana sukarelawan YAM bergerak agak menonjol terutama apabila berlakunya bencana dengan mengambil beberapa langkah dan tindakan pantas seperti menubuhkan sekretariat dan kerahan relawan contohnya membantu mangsa Tsunami di Kedah dan Pulau Pinang, serta menggerakkan pasukan bantuan membantu mangsa banjir di Kedah, Shah Alam, dan bencana angin kencang di Kapar, Selangor.

 

Di dalam tragedi banjir besar di Johor yang saya percaya rakyat Johor tidak mahu tragedi itu berulang kembali, Yayasan Amal amat merasa dihargai apabila diberi kepercayaan oleh kerajaan Kelantan dan rakyatnya bagi mengagihkan peruntukkan RM 1 juta untuk disalurkan kepada mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka. YAM telah mempamerkan khidmat yang cukup cemerlang dalam tragedi ini sehingga nama YAM menjadi sebutan di bibir mulut rakyat Johor, petugas-petugas Amal bukan sahaja membantu dalam aspek kemudahan material dan pengangkutan semata-mata, malahan turut memberi khidmat rawatan perubatan percuma serta memberi motivasi kepada mangsa agar tidak putus asa dan kecewa dalam menghadapi musibah besar yang barangkali ada hikmah di sebalik itu. Saya selaku Presiden YAM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada relawan Amal seluruh negara yang bertugas dan menabur bakti di bumi Johor.

 

Saudara dan saudari yang dikasihi sekelian,

Bencana alam boleh berlaku bila-bila masa tanpa diduga dan dijangka. Bencana alam menyebabkan ramai yang menjadi mangsa tercedera dan memerlukan rawatan segera. Justeru itu, YAM melalui biro Kesihatan dan Perubatan telah mendaftarkan ratusan tenaga relawan medik dan paramedic bagi menjalankan program perubatan cergas dan pantas di seluruh negara. Ia membabitkan Program Rawatan Perubatan Percuma. Program Khitan, dan Program Ceramah Kesihatan dan lain-lain. Kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para doktor dan paramedik yang sungguh komited berkhidmat kepada masyarakat. Sebahagian negeri pula misalnya Trengganu menjadikan program ini sebagai rutin mingguan atau bulanan Biro Kesihatan dan Perubatan mereka.

 

Perkembangan terkini, biro Kesihatan dan Perubatan telah mempunyai sebuah ambulan bergerak (mobile clinic) yang lengkap dengan segala kemudahan. Ambulan bergerak ini telah disumbangkan oleh seorang tokoh korperat. Sehubungan dengan itu YAM ingin mengalungkan ucapan berbanyak terima kasih kepada Y.Bhg. Dato’ Hj Shamsuddin dan warga Pantai Holding Berhad yang telah bermurah hati menyumbangkan sebuah ambulan atau mobile clinic bagi memudahkan YAM menjalankan aktiviti kesihatan, rawatan dan perubatan. Kita berhasrat dalam tempoh sessi 2007-2009 ini YAM mensasarkan sekurang-kurangnya satu ”mobile clinic” untuk satu cawangan negeri bagi memudahkan khidmat kesihatan dan perubatan terutama di kawasan pendalaman. Kita mengharapkan akan lebih ramai penyumbang yang tampil membantu kita dalam menjayakan cita-cita mulia ini. Kita juga mengucapkan berbanyak ribuan terima kasih di atas kerjasama baik Jabatan Kesihatan dan Hospital di setiap negeri.

 

Saudara dan saudari yang dikasihi sekelian,

Sebagaimana yang saya jelaskan tadi, bahawa aktiviti Amal tidak hanya berorientasikan kebajikan semata-mata, tapi ia juga bergerak atas kesedaran dakwah yang tinggi. Bagi kami amal kebajikan merupakan sebahagian daripada dakwah dalam bentuk “Lisanul Hal”. Kerana kita tahu, bahawa tidak semua ahli masyarakat yang berlainan latarbelakang agama, keturunan, pendidikan dan ekonomi boleh menerima Islam melalui aktiviti ceramah dan kuliah semata-mata, tetapi ada di kalangan mereka yang menerima Islam melalui kegiatan seumpama ini. Justeru itu, di dalam Pendidikan dan Dakwah kita sudah mula menggerakkan langkah awalan. Tiga misi kemanusiaan dan dakwah ke Pulau Ketam misalnya cukup mendapat sambutan dan berjaya. Badan-badan & Ngo sahabat turut bersama seperti MACMA, JIM, MERCY, PERKIM, JAMAIYYAH, majalah MILLENIA, BAKIM, Persatuan Kebajikan Pekerja DBKL dan lain-lain yang tak sempat saya sebutkan semuanya turut bersama menjayakan program ini. Masyarakat di Pulau Ketam menyambut baik usaha murni ini, kita hanya perlu menyusuli lagi dengan tindakan-tindakan yang lain supaya YAM dan masyarakat Pulau Ketam sentiasa ada hubungan dan saling menyenangi dan menyayangi.

 

Di Sabah, usia YAM begitu muda tetapi cukup cergas dan ceria. Segala aktivitinya tidak nampak asing dan janggal. Fokusnya lebih tertumpu di bidang dakwah, kebajikan dan perubatan. Program yang dianggap besar dan pertama YAM di Sabah ialah program Kg Angkat di Kg Luanti, Ranau, Sabah. Masjid yang sebelum ini hanya menjalankan rutin solat berjamaah dan kuliah Maghrib sekali sekala sahaja telah dijadikan sebagai pusat khidmat masyarakat Kg Luanti. Kegiatan AMAL berpusat di masjid, kegiatannya melibatkan semua anggota masyarakat. Kini Kg. Juanti menjadi cukup menyerlah. Implikasi dari program tersebut, Alhamdulillah sudah ada satu keluarga bukan Islam sekaligus memeluk Islam. Pengalaman manis menjalankan aktiviti di Kg. Luanti, mendorong YAM Sabah mengembangkan kegiatan Kg. Angkatnya ke kampong Kayu Putih, dan yang terdekat ini ke Kg Nopong, Ranau. Selain itu, YAM Sabah cukup kreatif dan inovatif, Program konvoi Amal pula di aturkan di Sabah dengan membabitkan sejumlah para mubaligh dan para doktor bersekali. Program ini juga diterima baik oleh masyarakat setempat. Bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat mengenai Islam dan isu-isu berkaitan dengannya, sebuah ‘Islamic Information Centre’ (IIC) sudah dibuka di Pitas. Kami amat berbangga kerana sokongan daripada agensi kerajaan dan NGO setempat sangat baik. Perkembangan yang begitu positif ini menggambarkan bahawa masa depan AMAL di Sabah cukup menyakinkan. Justeru itu, YAM Pusat merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kerja bagi wilayah Malaysia Timur dan yang memungkinkan untuk menjadi pusat kebajikan dan dakwah bagi negara-negara jiran Sabah seperti Filipina, Kalimantan dan sebagainya di masa yang akan datang.

 

Saudara & saudari yang dikasihi sekelian,

Dalam melaksanakan kerja-kerja amal, samada kecil mahupun besar, YAM tidak boleh bersendirian, kerja amal akan lebih sempurna sekiranya didokong bersama oleh banyak pihak. Kerja-kerja amal ini adalah tanggungjawab semua orang dan YAM adalah pendatang baru yang turut menjadi pelengkap kepada keraja-kerja mereka yang terdahulu. Menjadi hasrat YAM untuk mendapat seramai mungkin kawan dan ‘zero musuh’. Pengalaman 6 tahun ini, YAM boleh berbangga di atas kerjasama baik daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabtan Kesihatan, Hospital, Polis, Institusi Masjid, Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Agama, Pejabat Kebajikan Masyarakat, MAS, Air Asia, Angkatan Tentera, JAKIM dan lain-lain di samping kerjasama erat dengan NGO-NGO Charity yang lain seperti MUSLIM CARE, HALUAN, IWMU, Persatuan Ulama Malaysia, SYURA, Islamic Relief Malaysia, Rabitah Islami Malaysia, PERKIM, MACMA, Badan-badan Kebajikan Masjid, YAKEP, Pusat Muktamar Islam MAS, HUNAFA, Badan Ad Diniah Selangor dan lain-lain NGO sahabat yang tidak sempat saya senaraikan kesemuanya. Kami amat berhasrat untuk mengadakan satu sidang meja bulat NGO-NGO sahabat di Malaysia untuk menjayakan kerja-kerja Islam ini secara bersepakat bagi menghasilkan natijah yang lebih menguntungkan Islam, ummah dan negara. YAM turut bersedia, berlapang dada dan terbuka minda untuk bersama mana-mana pihak termasuk parti-parti politik dan juga pertubuhan-pertubuhan agama yang ingin menjalin kerjasama dengan YAM dalam kerja-kerja amal dan social yang makin mencabar. Firman Allah swt. di dalam al Quran yang bermaksud :

“Tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat, tolaklah kejahatan itu dengan cara sebaik-baiknya, sehingga orang yang bermusuhan antaramu dengannya akan menjadi seorang kawan yang setia, dan kelakuan seumpama itu tiada dikurniakan kepada sesiapa pun melainkan orang-orang yang sabar, dan tiada diberikan melainkan kepada orang yang mempunyai keberuntungan yang sebenar”.(Al Fussilat : 34-35)

 

Saudara dan saudari yang dikasihi sekelian,

YAM amat berbesar hati dan berbangga di atas kepercayaan menjadi tuan rumah kepada ‘Kem Kepimpinan Daie Nusantara’ anjuran bersama AFMY, WAMY dan AMAL pada Julai dan Ogos 2006. Biro Latihan telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya. Kem ini membabitkan penyertaan wakil-wakil dari Thailand, Indonesia, Kemboja dan tuan rumah, Malaysia. Tahniah pada YAM Kelantan. Kami juga merancang untuk menggerakan lagi program seumpama ini sebagai usaha kerjasama berkesan di peringkat nusantara ini.

Di dalam program berkemahiran tinggi, YAM cukup teruja apabila diberi penghormatan antara dua NGO Malaysia menyertai satu sidang di dalam ‘ASIA PACIFIC ENHANCEDPEACE OPERATION SEMINAR SECURITY IN MISSION AREA-PROVIDING THE HUMANITARIANSPACE’ anjuran The United Nation Deparment of Peace Jeeping Operation, Angkatan tentera Malaysia. The Centre of Excellence in Disaster Management humanitarian Assistant dan United State Pacific Command. Ianya berlangsung di Hotel Nicco, Kuala Lumpur pada Ogos 2005. Wakil YAM, Dr. Halimah Ali telah diberi kepercayaan untuk mengepalai dialog penting yang membabitkan peserta dari pelbagai negara.

 

YAM di Persada Antarabangsa

Peristiwa Tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 mengubah rentak Amal Malaysia ke persada antarabangsa. Dengan penghantaran missi pertama pada 28/12/2004 ke Acheh menjadikan YAM antara NGO luar terawal sampai ke lokasi bencana di Banda Acheh, dan NGO pertama menubuhkan Hospital Lapangan di lokasi bencana di Bandar Aceh yang dinamakan Hospital Lapangan Darul Iman. 14 Misi dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) dihantar dengan membabitkan hampir 400 sukarelawan terlibat. Kerjasama intim bersama Muslim Aid UK, Komiti Kemanusiaan Indonesia (KKI), Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI) NGO-NGO sahabat di Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan NGO-NGO antarabangsa. Di samping sumbangan kewangan, makanan, pakaian dan relawan melalui YAM daripada pelbagai pihak menjadikan kehadiran YAM amat dikenali di Indonesia. Dua buah mobile klinik beroperasi aktif di Bandar Aceh dan Meulabuh, Acheh Barat. Team Amal menjadi relawan pertama bersama KKI tiba di kawasan paling teruk dilanda bencana di Aceh Barat di Kecamatan Samutioga, dan Amal terus berperanan di sana sehingga sekarang. Sebuah asarama anak yatim bernilai sekitar RM 400,000 di Desa Chot Darat sudah 75% siap dibangunkan dan sebuah masjid bernilai RM 250,000 baru bermula pembangunannya. Sumbangan kewangan dari pelbagai pihak diterima dan kami masih mengharapkan sumbangan berterusan dari semua pihak termasuh NGO Sahabat bagi menyiapkan bangunan yang masih belum sempurna tersebut. Semoga Allah mempermudahkan kita dalam usaha yang mulia ini. YAM juga menghantar misi bantuan Tsunami di Sri Langka Selatan khususnya di Hambantota dan Kirinda.

Pengalaman di Aceh mendorong YAM kemudiannya terus berada aktif di lokasi bencana-bencana besar. Pada Ramadhan 2005, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gempa bumi terbesar di Pakistan dan Kashmir. Relawan YAM turun ke Balakot, Muzafarabad, Bhar di Pakistan dan Khasmir. Belum selesai di Pakistan & Kashmir, YAM kemudiannya bergegas ke Iran apabila berlaku gempa di Bham, dan gempa besar pula di Jogjakarta diikuti lagi letupan Gunung Merapi di Jogjakarta

dan gempa bumi di Jawa Barat. Apabila berlaku peristiwa serangan keganasan penuh dengan sifat kebinatangan Israel di Lebanon, YAM kemudiannya turut menghantar dua missi perubatan dan kemanusiaan bagi membantu mangsa keganasan perang di Lebanon. YAM adalah di antara satu-satunya NGO dari Asia yang turun ke Lebanon.

 

 Misi Kemanusian di Kemboja

Bermula 2005 YAM Pahang merintis dan memulakan program Qurban di Kemboja. Di musim Qurban 2006/2007 YAM menggerakkan misi kemanusian yang lebih besar ke Kemboja dengan kerjasama Badan Al Dinniah Selangor dan “Cambodian Muslim Development Foundation”. Program ini mensepadukan program Kesihatan, Khitan, kemanusiaan dan Qurban. YAM cukup prihatin terhadap permasalahan umat Islam Kemboja yang memerlukan banyak bantuan dari sudut pendidikan dan pembangunan ekonomi. Di atas keperihatinan ini, YAM memperkenalkan program “Lembu Pawah” yang kini sudah dimulakan dan beberapa projek lain turut dirancang. YAM pusat mengharapkan dokongan dan kerjasama daripada mana-mana Institusi Kewangan, NGO mahupun orang perseorangan bagi menjayakan misi kemanusiaan di Kemboja yang lebih tertumpu kepada projek “regenerate income” dan “pembangunan pendidikan” .

 

 Merealisasikan Visi Amal

Yayasan Amal Malaysia (YAM) mempunyai visi tersendiri sebagai mengambarkan hasrat jangka panjang perjuangan AMAL. Visi Amal ialah “ Menjadi NGO Kemanusiaan dan Kebajikan Islam Terbaik Pilihan Generasi Baru Masyarakat Malaysia”. Visi ini adalah diambil dari semangat firman Allah swt di dalam al Quran yang berbunyi :
”Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia, kerana kamu menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah melakukan kemungkaran”

Visi yang sebegini murni ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa ada perancangan dan agenda bertindak YAM yang menggariskan beberapa objektif yang ingin dicapai dalam jangka waktu tertentu. Justeru itu, bagi mengisi segala ruang masa dan waktu sepanjang sessi 2007-2009, kami ingin menggariskan beberapa fokus gerak kerja bagi melengkapkan agenda bertindak YAM. Dan selepas ini, diharap satu Bengkel Pengurusan Strategik hendaklah diadakan dalam tempoh terdekat bagi YAM merangka Pelan Tindakan 2007-2009.

 

 Agenda Bertindak Penggal 2007/2009.

Antara yang perlu diberi keutamaan dalam usaha memperkemaskan organisasi YAM ialah memperkasakan pentadbiran dan Pengurusan Amal di semua peringkat. Kefahaman terhadap pengurusan organisasi adalah sangat penting dalam menjayakan cita-cita perjuangan. Allah swt. menyebut di dalam al Quran yang mengagaskan betapa perlu sebuah organisasi yang tersusun dalam artikata pengurusan yang sistematik, efektif dan inovatif. Firman Allah swt.
”Sesungguhnya Allah mencintai mereka yang berjuang di atas jalannya dalam satu saf yang tersusun” (As Saff : 4)

Manakala Saidina Ali krw. Menyebut bahawa “Kebenaran yang tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem”. Sistem kerja kepejabatan juga perlu diwujudkan di semua peringkat organisasi. Sudah tiba masanya, YAM negeri-negeri mempunyai pejabat masing-masing yang lengkap dengan seorang dua petugas sepenuh masa yang berjiwa relawan di setiap pejabat YAM negeri.

Bagi memaksimakan dan mempelbagaikan kegiatan YAM, semua biro-biro di peringkat pusat mahupun negeri hendaklah memahami bidang tugas masing-masing supaya tidak berlaku pertindanan.

 

 Relief dan Rescue

Bencana alam berlaku dengan tidak menentu, sehubungan dengan itu, biro Relief dan Rescue memerlukan sukarelawan waja dan berkemahiran tinggi, pendaftaran relawan Amal hendaklah dipertingkatkan, kursus-kursus kemahiran dan pengurusan bencana hendaklah diadakan secara bersiri, peralatan rescue dan relief yang yang secukupnya hendaklah disediakan dan Kelab RELAWAN AMAL yang sudahpun dilancarkan hendaklah digerak secara serius dan dikemaskinikan.

 

 Perubatan dan Kesihatan

Tenaga sukarelawan perubatan sangat diperlukan dari masa ke semasa, oleh itu sessi 2007-2009 hendaklah turut memberi fokus mendaftarkan seramai mungkin relawan perubatan (medic dan paramedic) yang benar-benar terlatih, cekap dan berkemahiran di suasana bencana . Kita juga mahu melihat hujung sessi ini Insyaallah, setiap cawangan negeri mempunyai satu mobile clinic yang lengkap untuk berkhidmat dilokaliti masing-masing.

 

Pendidikan, Dakwah dan Latihan Kepimpinan

Bidang pendidikan, dakwah dan latihan kepimpinan juga wajar diberi fokus keutamaan dalam usaha meningkatkan kegiatan dakwah dan latihan kepimpinan. Melahirkan petugas dakwah yang komited dengan kerja Islam memerlukan latihan yang berterusan, kita mahu melihat YAM mempunyai petugas ”Murabitun” yang sepenuh masa untuk dakwah dengan tidak mengharapkan imbalan dunia melainkan keredhaan Allah swt. Justeru itu, usaha terancang hendaklah dibuat bagi memastikan pendaftaran tenaga muda sebagai ”Relawan Dakwah” berjalan dengan teratur, kursus-kursus pengurusan dakwah menggunakan mekanisma YAM hendaklah dijalankan terutama di Sabah dan Sarawak, ini kerana umat Islam di Sabah dan Sarawak berhadapan dengan pakatan terancang gerakan kristianisasi sedunia yang menyasarkan rakyat di kedua-dua negeri ini bahkan juga di Semenanjung. Selain itu, program-program yang melibatkan aktiviti kecemerlangan dan kepimpinan pelajar dan warga pendidik juga perlu dirancang dan digerakkan. Dan yang menjadi cabaran dan harapan kita semua ialah memungkinkan usaha menubuhkan sebuah Pusat Islam Borneo (Islamic Centre og Borneo – ICB) yang bakal menjadi mercu tanda YAM dalam menjalankan kegiatan, khidmat Kebajikan dan Dakwah di Malaysia Timur, Kalimantan dan Filipina.

 

Hubungan luar dan Antarabangsa

YAM dilihat begitu peka dan prihatin terhadap permasalahan umat di serantau. Kepantasan YAM menghantar misi kemanusiaan hanya beberapa hari selepas musibah dan bencana alam melanda di pelbagai lokasi adalah satu yang sangat dihargai oleh semua pihak. Sehubungan dengan itu biro Hubungan Luar & Antarabangsa juga hendaklah memfokuskan agenda bertindaknya bagi sessi 2007-2009 dengan strategi “maksima kawan-minima lawan” atau zero musuh. Di dalam negeri YAM hendaklah menggerakkan program “SEPAKAT NGO” khusus dalam menjalin kerjasama dengan NGO yang mempunyai matlamat yang sama dalam menjayakan program-program kemasyarakatan dan kemanusian yang lebih besar. Di peringkat antarabangsa YAM hendaklah berusaha menjalin dan meningkatkan hubungan yang lebih intin dengan NGO-NGO Charity Antarabangsa, terutama NGO Islam sepertio Muslim Aid UK, Al Khidmat Foundation Pakistan, CANSUYU Foundation TURKEY, IHH Europe, IIRO dan lain-lain NGO Charity yang mempunyai nama besar di peringkat antarabangsa. Selain itu hubungan hendaklah juga dijalin di peringkat NGO Charity Islam Asia Tenggara. Sehubungan dengan itu, satu Forum Charity Islam Nusantara dicadangkan untuk diadakan. Manakala hubungan yang sedia terjalin seperti CMDF Kemboja dan Human Care Sri Langka akan semakin dipertingkatkan lagi.

Di Acheh Barat, usaha bagi menyempurnakan pembinaan rumah anak Yatim mangsa Tsunami di desa Chot Darat dan Masjid di Desa Suak Timah, akan diteruskan dan diberi keutamaan dengan harapan adanya penyumbang-penyumbang yang akan tampil membantu YAM menyiapkan projek besar ini.

 

 Penerbitan dan IT

YAM merupakan sebuah NGO yang berkembang hasil kepercayaan dan keyakinan masyarakat, modal khidmat dari keringat, dokongan dan sumbangan masyarakat. Pemaparan maklumat yang telus dan terus menjadi keutamaan. Masyarakat penyumbang wajar tahu ke mana sumbangan mereka disalurkan. Untuk itu, website amal. www.amalmalaysia.net harus sentiasa aktif dan dikemaskini dari masa ke semasa. Website amal mesti diperkasakan dengan meningkatkan kualiti penyiaran, webtv amal juga mungkin perlu diwujudkan. Sekiranya ingin website amal turut dilayari oleh masyarakat antarabangsa, penggunaan bahasa Inggeris dan Arab juga wajar difikirkan, di samping Bahasa Malaysia. Perjalanan AMAL tidak diberi liputan seluasnya oleh media perdana Malaysia samaada media cetak mahupun media elektronik, sedangkan sumbangan AMAL cukup besar. Justeru itu, pada sessi ini biro Penerbitan dan IT dicadangkan agar mengeluarkan ”Buletin Amal” supaya masyarakat dan AMAL akan menjadi lebih dekat dan rapat. Selain itu, biro ini juga mestilah mengambil semua kesempatan dalam apa sahaja program yang boleh dimanfaatkan untuk makluman dan kesedaran masyarakat tentang peranan AMAL.

 

Pembangunan Remaja

Hari ini negara sedang parah dilanda gejala sosial yang tidak berbatas ini. Lebih disemarakkan lagi dengan perkembangan IT dan pelupusan budaya hidup beragama. Biro ini harus mengumpulkan tenaga-tenaga pemikir dan pelaksana untuk bersama NGO-NGO sahabat bagi turut membantu kerajaan menanggani gejala yang makin parah. Isu Mat Rempit, gejala murtad, isu dadah, isu SEX bebas dan lain-lain semacam sudah tidak terkawal lagi. Sehubungan itu, YAM harus menjadikan 2007-2009 sebagai penggal mensasarkan penubuhan sebuah Pusat Pemulihan dadah secara Islam, sebuah Pusat Perlindungan Wanita dan Rumah Anak Yatim kelolaan Yayasan Amal pada sessi ini. Kami yakin akan ada NGO-NGO sahabat yang akan sedia bekerjasama. Selain itu, program-program motivasi masyarakat, motivasi remaja dan program-program keremajaan diharap akan fokus gerak kerja kita..

Hadis Rasulullah saw ada menyebut :

”Sekiranya aku ingin merosakkan satu kaum, maka aku rosakkan dahulu wanita………”

YAM menganggap biro yang mendepani ini cabaran terbesar. Satu diskusi di kalangan profesional mungkin boleh dibuat untuk membincangkan tentang ‘bagaimana mahu memperkasakan institusi rumah tangga yang semakin rapuh. Apa langkah-langkah yang mampu diambil peranan oleh sebuah NGO seperti Amal. Program “Rumahku SyurgaKu”, Program “Smart Solat”. Program “Rumahtangga Idaman” dan “Baitul Saadah” mungkin boleh diagendakan. Program induk Remaja Muslimah boleh digagaskan dan digerakkan. AMAL harus ada peranan dalam membantu mengembangkan “keunggulan rumahtangga Islam Sejati”

 

 Penyelidikan dan pembangunan

Bahagian penyelidikan dan pembangunan hendaklah memberi tumpuan dan fokus dalam mengorak langkah baru supaya YAM dapat menembusi apa juga benteng yang menghalang usaha kebajikan ini. Penyelidikan dan pembangunan hendaklah menjurus ke arah penerokaan bidang-bidang yang perlu diceburi olehYAM diperingkat pusat. Satu langkah yang bijak ialah mengenal pasti peluang-peluang untuk YAM beramal di kawasan-kawasan pendalaman dengan menjalin kerjasama bersama dengan Jabatan Kerajan seperti JAKIM, YADIM dan sebagainya. Penyelidikan juga boleh dilakukan bagi mengenal pasti permasalahan ummah dan jalan penyelesainnya. Sessi 2007-2009 ini, kita mahu melihat sebuah pusat latihan dan kemanusian diwujudkan, dan saya mahu bahagian penyelidikan dan pembangunan meninjau dengan membuat penyelidikan ke arah usaha ini.

 

 Kompleks latihan & Komplek kemanusiaan AMAL

Melihat perkembangan yang semakin terserlah dan meningkat dengan berbagai-bagai aktiviti telah mengundang keprihatinan seorang hamba Allah yang bernama Sdr Ahmad Khairi Mohd bagi mewakafkan tanah lot 4691 seluas 1.651 ekar di Kg. Menora, Sayong Kuala Kangsar di tepi Sungai Perak yang cukup cantik dan strategic kepada YAM. Amal Pusat bercadang untuk menjadikan kawasan yang cantik ini sebagai pusat latihan dan rekreasi. YAM Pusat memberi tanggungjawab dan amanah ini kepada YAM Perak bagi mengemukakan cadangan pembangunannya.

Untuk gerak kerja berinstitusi yang lebih serius, sudah tiba masanya untuk YAM Malaysia mula berfikir dan berusaha membangun sebuah Kompleks Kemanusiaan Amal. Dua keping tanah di Dengkel sudah ditinjau. Komplek ini mengintegrasikan pusat latihan, rumah anak yatim, pusat khidmat masyarakat dan perubatan disatukan. Usaha ke arah mencapai hasrat tersebut akan diberikan tumpuan.

 

Kewangan

Sebagai sebuah NGO Charity, wang Yayasan adalah wang masyarakat. NGO yang menggerakkan khidmat kemasyarakatan manakala masyarakat prihatin yang sponsor. Justeru itu, satu usaha kempen yang lebih bersungguh untuk memberi kefahaman kepada masyarakat perlu dipertingkatkan. Usaha bagi menjana kekuatan ekonomi hendaklah dirancang secara sistematik, YAM tidak boleh bergantung dananya semata-mata melalui sumbangan orang ramai, projek-projek ekonomi yang lain harus digembeling melalui kerjasama dengan mana-mana syarikat korporat supaya YAM mempunyai pendapatan yang tetap. Projek Amal Charity Shoop yang pernah menjadi sumber utama kepada Oxfarm International dalam membiayai kos pengurusannya boleh dicontohi. Konsep Projek Amal Charity secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan kerjasama antara penyumbang, pembeli dan penerima dalam menjana ekonomi. Justeru itu, kita menaruh harapan supaya YAM di setiap negeri mewujudkan konsep Projek Amal Charity Shop.

 

Penutup

Perkembangan YAM hari ini menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan YAM bagi meluaskan jajaran perjuangan amalnya tanpa dibatasi oleh sempadan geografi, keterikatan atas sebab bangsa dan agama . Justeru itu, saya menyeru semua kepimpinan YAM peringkat Pusat dan Negeri serta sukarelawan AMAL, NGOs, orang perseorangan dan siapa sahaja yang berminat dan prihatin untuk terus bersama dengan YAM dulu, kini dan selamanya Insyaallah. Saya bagi pihak seluruh kepimpinan Yayasan Amal Pusat merayu semua pihak supaya turut prihatin dengan program-program YAM yang perlukan dana, sehubungan dengan itu orang ramai boleh terus menyumbang dengan menghubungi mana-mana Ahli Lembaga Pengarah untuk menyalurkan sumbangan atau terus bankin ke akaun Yayasan Amal Pusat di Hongkong & Shanghai Bank (HSBC). No. Akaun 001-057884-021 @ Maybank Malaysia Berhad (MBMB). No Akaun 553010122090 @ Bank Muamalat Malaysia Berhad (BBMB). No Akaun 13010002499715.

Bagi mengakhiri ucapan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya penyumbang-penyumbang AMAL, sukarelawan AMAL, kepimpinan AMAL di semua peringkat yang bertungkus lumus menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ini. Terima kasih juga kepada beberapa individu dalam AMAL yang begitu komited dengan kegiatan AMAL seperti .Dan terima kasih kepada perasmi jemputan Yang Berhormat Datuk Takiyuddin Hj Hassan (EXCO kerajaan negeri Kelantan) yang sudi melapangkan masa bagi menyempurnakan majlis perasmian pada pagi ini. Terima kasih kepada pihak Masjid al Ghufran yang memberi kebenaran dan kemudahan menggunakan dewan ini.

Sekian wasallamulaikum wr. Wbt.

 

Hj Hussin Ismail
Presiden Yayasan Amal Malaysia.