| SEPANG, 31 Ogos: Seramai 12 orang peserta misi kemanusiaan ke Pakistan berlepas hari ini bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana alam di sana.
Sepuluh daripada mereka terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia), Institute Muslim Woman (IMW) dan Haluan Malaysia manakala tiga lagi merupakan wartawan dan jurugambar akhbar Harakah. Ketua misi, Jamulidin Elias yang merupakan Timbalan Presiden Amal memberitahu, matlamat mereka ke sana adalah untuk menyampaikan sendiri bantuan berupa makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa mengikut keperluan mereka. "Matlamat kami kali ini untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa di sana kerana ini merupakan amanah rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan mereka. Sumbangan juga diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. "Kami kena pastikan bantuan ini sampai kepada mangsa. Sebab itu kami tidak akan beri bantuaan dalam bentuk wang kerana bimbang ia disalah guna oleh pihak tertentu di sana," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum berlepas pada jam 1.15 petang tadi.
|